Friday, August 24, 2018

Baby No 4 Tiada Lagi

Assalamualaikum,
Di usia kehamilan 9 minggu, Khamis 16/8/18 ada keluar lendir coklat. Aku rasa tak sedap hati tetapi oleh kerana suami memujuk memberitahu insyaAllah tidak ada apa-apa, maka aku abaikan saja tanda itu. Hari berlalu begitu sahaja sehinggalah Isnin 20/8/18, darah mengalir semasa rukuk pertama solat asar. Sesudah itu,aku terus menelefon suami menyuruhnya pulang segera. Kami terus ke hospital Razif untuk scan. 

Semasa scan, hanya Allah yang tahu perasaanku. Doktor memberitahu kandunganku hanya 8 minggu lebih sedangkan kalau ikut tarikh period sepatutnya 10 minggu lebih. Aku dah rasa sesuatu yang tidak kena. Bila aku tanya heartbeat, dia kata tiada. Saya tak jumpa. Saat itu, aku redha. Aneh, kekuatan itu datang dari mana. Mungkin juga sebab kesedihan kehilangan kakak ipar yang pergi baru seminggu lebih membuatkan aku menjadi seorang yang lebih kuat. Doktor memberi masa seminggu dari tarikh itu untuk repeat scan dan prosedur selanjutnya.

Keluar dari bilik doktor, aku memandang suami dan memberitahu baby dah tak ada. Suami tenang, seperti selalu. Waktu itulah mataku bergenang. Allah, pengalaman pertama ini cukup indah kerana aku tahu Allah telah merancangnya dengan cantik sekali.

Aku pulang dengan fikiran kosong. Suami singgah ke kedai mamak untuk makan malam, kebetulan anak keduaku nak makan roti canai. Malam berlalu seperti biasa.

Keesokkan pagi, aku memberitahu suami untuk repeat scan di hospital lain. Untuk second opinion sebenarnya. Suami memberi kebenaran. Setelah menghantar anak ke tadika dan taska, aku lantas memandu ke hospital swasta berdekatan rumahku. Lalu membuat temujanji dan scan. Keputusan yang sama, cuma doktor ini memberi tempoh dua minggu untuk gugur sendiri. Sebab katanya gugur sendiri lebih baik. Hormon sekarang masih baru, rahim belum kecut lagi. Aku akur, dan pulang. Terima kasih adikku, Chah kerana singgah menjengukku di hospital. 

Bermulalah penantian aku.. 
darah keluar sedikit sedikit setiap hari dan ada juga hari yang langsung tiada darah. 
22/8/18- lendir coklat
23/8/18- darah fresh sekali sahaja

Hari ini? Hanya sakit senggugut ringan sepanjang hari. Sambil menahan sakit , aku cuba sibukkan diri dengan melayan anak dan mengemas rumah.

Aku harap, ia akan gugur sendiri sepenuhnya dalam masa cuti berbaki dua hari lagi ini. Tak sanggup sekiranya gugur di tempat kerja 😭😭 

Ya Allah permudahkan segalanya..